Pages

Tuesday, February 17, 2009

MENTALITI "HANJING"

Seekor anjing dilontar dengan seketul batu, lantas menyalak-nyalak marahkan batu yang menyakiti tubuhnya. Marahnya pada batu itu, bukan kepada si pelontar batu itu. Itulah mentaliti anjing.

Tidaklah jauh bezanya dengan seorang yang apabila merasai dirinya ditipu atau dikhianati, atau dipersendakan atau direndahkan, maka akan marah dan amat kecewa sekali dengan sikap saudaranya itu. Pandangannya terarah kepada makhluk itu, bukan kepada itu "......Yang Menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu kerjakan". Inilah mentaliti seorang hamba yang terhijab dari hakikat.

Mungkin disebabkan jahilnya, mungkin kerana bebalnya, mungkin kerana tebalnya ammarah atau mungkin kerana punya penglihatan tetapi yang tidak boleh melihat.

Pada "si jahil" itu......... tidak hairanlah, sebab kerana kejahilannya itulah yang menjadikan mereka tidak tahu perkara yang sebenarnya.

Tapi yang dihairankan ialah;

  • kenapa "si yang sudah tahu" itu masih bebal lagi mempertahankan "keegoannya"?

  • kenapa "si yang baru berjalan untuk mengenal" masih lagi rakus menilik kepada agyar dan masyiwaLlah?

  • kenapa "si yang mengaku sudah ahli makrifat" masih lagi silau dengan Nur/Warid yang mendatangi?
Dengan kerana itu, sedarilah wahai ahli-ahli Ilmu dan ahli-ahli Amal(Thoriq);
  • kekuatan ilmu yang dimiliki itu bukanlah sesuatu yang dapat menjamin kedudukan dirinya.
  • Demikian jua dengan amal berbukit-bukit yang didirikan, bukan juga sesuatu yang dapat mendekatkan "kehampiran"nya.
  • Begitu juga dengan lebatnya Warid-warid yang mencurah bukanlah sesuatu yang menjamin tumbuhnya "pokok keyakinan" tempat hinggap "merak" itu.
Sebenarnya........

amal ialah ilmu yang berupa atau berbentuk. Lampaui kedua-duanya dan capai "hal" iaitu sempadan yang paling hujung bagi kedua-dua itu.

Capailah "hal" barulah ilmu dan amal anda menjejaki tepian laut itu, Jadikan ia sebagai kapal(bukan perahu kolek) untuk belayar dalam lautan Keesaan itu. Lautan di mana tidak diiktibarkan lagi jahil atau berilmu, banyak atau sedikit atau tempat di mana tidak lagi ditiliki apa jua isyarat yang terbit dari anda.

Kebanyakan ahli-ahli dakwa yang mengakui dirinya seorang sufi atau pengikut setia mereka lupa bahawa dalam pada mereka memperagakan ilmu-ilmu yang ditalkinkan dari guru-guru yang 'Alim atau menyatakan rujukan daripada beratus buah kitab atau mengistilahkan sekelumit pengalaman keruhanian mereka; zhohirnya pula menunjukkan sesuatu yang tidak selari sebagaimana yang mereka cuba pamirkan.

Ini adalah kerana, mereka tidak berada pada "hal" sebagaimana yang cuba didedahkan. Mereka hanya mengulang-ulang pengucapan gurunya, mereka hanya mencebuk dari telaga hikmah orang lain, mereka banyak berbimbang dengan agyar(wirid, warid, isyarat, keramat, terbuka yang ghaib) yang menunjukkan mereka cuba menyatakan sesuatu yang bukan "hal" dirinya; tetapi cuba memperkatakan "hal" orang lain mengikut kefahaman dan pandangan mereka yang terhijab dengan ilmu dan amal mereka. Mereka ini adalah semata-mata ahli dakwa yang tersingkir dari erti dan maksud Tasauf itu.

Jika ingin mengatakan sesuatu yang hakikat, maka berkatalah dengan "lisan hal" bukannya dengan lisan ilmu atau lisan amal

Mereka berkata,

"Hakikat diri kita ialah Fakir, Hina, Lemah, Dhoif, Jahil lagi Haqir"

tetapi dalam masa yang sama atau di tempat yang lainnya mereka merasakan

  • dirinya kaya dengan rezeki yang ma'nawi,
  • Ada kedudukan dan perhatian daripada makhluk,
  • kuat dan tekun mengistiqamahkan wirid-wirid,
  • dapat menembusi alam-alam di sebelah sana,
  • mampu melakukan yang lebih baik lagi,
  • mengetahui banyak perkara dan merasakan ada tempat di sisi Tuhan.
yang terzhohir pada perlakuan-perlakuan yang antaranya;
  • Merasa senang dengan pujian dan marah dengan celaan;
  • Senang jika ramai yang mengiyakan apa yang dikatakan tetapi tidak senang bila ada yang menidakkannya.
  • Terkadang sampai hilang pertimbangan diri sehinggakan sanggup mengerahkan segala kekuatan ilmu yang ada
  • hatta sampai sanggup membongkarkan rahsia-rahsia(yang terkhusus untuk dirinya sebagai hujah ilmunya.
Ini bukanlah rupa atau wajah "hal" atau Hakikat Fakir, "hal" Hina, "hal" Lemah, "hal" Dhoif, "hal" Jahil dan "hal" Haqir sebagaimana yang sebenarnya; tetapi semata-mata dakwa dan kianat membukakan rahsia Ma'ani. Satu pelanggaran terhadap makna tasauf. Syirik khofi yang tersembunyi di sebalik riya' dan sumu'ah. Memang kejahatan ini tersembunyi kerana yang khofi ini seumpama semut hitam yang merayap pada sebuah batu hitam di waktu malam yang pekat. Sukar untuk dikesani kejahatan ini kerana ia berada pada pelbagai wajah kebaikan. Bercampur(Bersekutu) dalam ilmu, amal dan muraqobahnya.

Tidak salah rasanya, jika diperturunkan kata-kata Aulia Allah seperti di bawah untuk mengukur kedudukan diri kita bahawasanya;

Takrif Tasauf itu ialah;

"Menghilangkan dakwa" dan
"menyembunyikan Maani"(rahsia)

"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu
anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi". Abu Hassan al-Khorkhoni.

Berapa dalam harus kugali tanah ini harus kugali
Untuk bertemu permata nilai sejati nilai sejati
Baru kupulang ke kampung sentosaku
Baru tercapai segala maksudku

Perahuku menghala ke hulu kuala jua kusua, jua kusua...
Kau lihat aku, aku pula lihat dia samakah kita ?


Ke sana ke sini lari-lari kecil
Bagai Siti Hajar mencari air
Terpancur sinar di kering pasir
Bekas hentakan kudus kaki Ismail

Mari mawarku raikan cinta
Tanpa cintaNya kita tiada
Mawar cinta mawarku abadi
Cinta pemilik segala Jadi

Mari mawarku raikan cinta
Kerana cinta kita abadi
Mawar cinta mawarku sejati
Cinta pemilik segala Jadi


Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH

No comments: