Pages

Tuesday, February 17, 2009

NI'MAT DAN SYUKUR

NI'MAT DAN SYUKUR

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra.
Barangsiapa yang tidak berhadap ia kepada Allah dengan Lathif Ihsan, nescaya akan diseret kepadaNya dengan segala rantai ujian.
Terjemahan dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Barangsiapa tiada berhadap ia atas Allah Taala dengan segala Lathif Ihsan, nescaya dihela ia kepadaNya dengan segala rantai cuba daripada jatuh maksiat dalam segala harta dan segala badan dan ketiadaan sampai kehendaknya dan kehinaan dalam menuntut barang yang dikehendakinya. Dan demikian itu supaya kembali hamba itu kepadaNya dengan digagah apabila tiada berhadap ia atasNya dengan kebaktian.

Keterangan

Segala Lathif Ihsan bermaksud segala anugerah kurnia nikmat yang penuh kelembutan dari limpahan Kasih Sayang Allah Taala ke atas hamba-hambaNya. Antara contohnya ialah;

  • Anugerah nikmat harta dan wang ringgit yang melebihi keperluan.
  • Anugerah nikmat pangkat, jawatan dan kedudukan di sisi manusia lain
  • Punya anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan survival kehidupan dunia
  • Kesihatan dan kekuatan dan kesempurnaan tubuh badan yang berpanjangan.
Segala anugerah Lathif Ihsan seperti di atas, jika tidak boleh atau tidak dapat menyedarkan kewajiban seorang hamba untuk berhadap hatinya kepada Allah, mendekati cahaya HakikatNyan dan mengabdikan diri kepada Allah Taala, nescaya hamba yang lalai ini akan dihela ia kepadaNya dengan segala rantai cuba daripada jatuh maksiat yakni hamba tersebut akan ditarik untuk berhadap kepada Allah Taala dengan SifatNya KekerasanNya. Mereka akan ditarik untuk berhadap kepadaNya dengan berbagai-bagai cubaan yang berat-berat. Tidak ada lagi yang lemah-lemah, malah dengan kenyataan Sifat JalalNya. Semuanya itu adalah bertujuan untuk menjauhkan hamba pilihanNya daripada terjebak dengan berbagai-bagai maksiat dan penderhakaan terhadapNya.
  • Mungkin kekayaan harta benda dan wang ringgit yang dimiliki itu akan ditukar pula kepada kehilangan seperti dicuri atau saham yang dibeli akan jatuh menjunam sehingga menjadikan mereka jatuh bangkrap, papa dan miskin sehingga terpaksa meminta-minta dengan hina daripada manusia; Maka selamatlah ia dari dosa-dosa yang bersangkutan dengan hartanya atau;
  • Mungkin jawatan tinggi, pangkat dan kedudukan yang mulia dimiliki akan ditarik balik dengan dibuang kerja atau dilucutkan dari jawatan yang disandang sebelum sampai cita-citanya dengan terpaksa merayu-rayu kepada manusia dengan kehinaan dan merasa putus asa dengan manusia. Akhirnya selamatlah ia daripada dosa syirik dengan bertuhankan kuasa manusia atau;
  • Kesihatan dan kekuatan tubuh badan akan ditukar kepada kesakitan yang berat-berat sehingga melumpuhkan selera atau anggota badan yang ada. Maka selamatlah ia daripada dosa-dosa tamak, rakus dan berlebih-lebihan dalam makan.
Dan sesungguhnya, kemiskinan, kepapaan, kehinaan dan kesakitan tubuh-badan adalah satu musibah yang amat perit untuk diterima oleh kebanyakan manusia yang sudah biasa hidup dengan serba kekayaan, kemuliaan dan tubuh badan yang sihat. Walaupun perit dan sakit, mahu tidak mahupun mereka terpaksa menerimanya kerana kelalaian mereka semasa mendapat nikmat Lathif Ihsan. Mereka dipaksa untuk menerimanya. Sakit dan perit tubuh-badan dan sengsara jiwanya dalam menerima bala musibah itu, terpaksa diterima dan dihadapi. Namun semua itu sebenarnya adalah hikmah didikan Allah yang bertujuan untuk menarik hamba yang lalai dan yang kufur nikmat itu supaya kembali menghadap dan memperhambakan dirinya kepada Allah Taala dalam erti kata yang sebenarnya;

Contoh terbaik untuk memperikan hal ini ialah umpama seorang yang diserang penyakit kencing manis, lemah jantung dan darah tinggi dengan serentak. Jika sebelum ini, mereka menjamu nafsu seleranya dengan pelbagai makanan dan minuman yang enak-enak sehingga melupakan lalai untuk beribadat kepada Allah seperti sering tidak sembahyang, malas untuk berpuasa di bulan Ramadhan, tidak membahagikan kelebihan yang ada kepada fakir miskin atau kaum kerabat yang ada, maka dengan sakit-sakit yang tersebut, mereka terpaksa banyak berpantang. Ini tak boleh makan, itu tak boleh minum, ini tak boleh pakai, itu tak boleh digunakan atau malah mungkin, penyakit-penyakit yang kronik itu sudah tak dapat diubati lagi. Kata doktor, hanya kuasa Allah sahaja yang dapat menyelamatkannya.

Maka di kala ini, putuslah segala cita-cita dan kecenderungan nafsunya. Apa yang terfikir ialah mati, amal ibadat yang hendak dibawa, keampunan dana keredaan daripada Allah Taala. Dengan hati yang merujuk dan berharap kepada Allah seperti di atas, maka sesungguhnya akan berhadaplah hati yang lalai dengan nikmat sebelumnya kepada Allah dalam keadaan yang serba lemah dan mengharap. Inilah apa yang boleh difahamkan dari keterangan Dan demikian itu supaya kembali hamba itu kepadaNya dengan digagah apabila tiada berhadap ia atasNya dengan kebaktian. yakni sebagai salah satu cara untuk mengheret kembali hamba yang lupa dan lalai untuk berhadap kepadaNya. Kenyataan ini tidak berlawanan seperti yang tersebut dalam Kitab Tanbihul Ghafilun, bahawasanya Rasulullah SAW, pernah bersabda;

"Sesungguhnya adakalanya Allah telah menyediakan suatu darjat bagi seseorang, tetapi tidak dapat dicapai dengan amalannya, sehingga diuji dengan bala yang menimpa pada jasmaninya maka tercapailah dengan itu".

No comments: